top of page

Sejarah Tercipta, Raffia Arshad Dilantik Menjadi Hakim Wanita Berhijab Pertama di UK

Writer's picture: Malaysian Youth DiplomacyMalaysian Youth Diplomacy

Monday, 01 June 2020

BY DYLAN DEV


Pada minggu yang lepas, Raffia Arshad, berusia 40 tahun, catatkan sejarah tersendiri apabila beliau dilantik jadi hakim pertama yang berhijab di United Kingdom. Setelah bekerja dalam bidang perundangan selama 17 tahun, akhirnya beliau dapat menyandang jawatan sebagai Timbalan Hakim daerah Midlands di England. Melihat keadaan Raffia yang menjadi wanita berhijab pertama pegang jawatan itu, ia menunjukkan bahawa bukan senang untuk seseorang dari kalangan minoriti diberi jawatan itu.


Bila ditanya, beliau kata pelantikannya bukan sahaja satu pencapaian bagi diri sendiri, tetapi satu pencapaian untuk semua.


“Ini sesuatu yang penting bagi semua wanita, bukan sahaja wanita Islam, tetapi terutamanya wanita Islam,” – Raffia, seperti yang dilaporkan Independent


Raffia dilantik berdasarkan merit, ramai yang ucapkan tahniah kepada dirinya

Raffia ingin menggunakan platform baru ini untuk buktikan kebolehan masyarakat yang berbilang kaum. Raffia sebenarnya berasal dari golongan kelas pekerja dan etnik minoriti, dan merupakan ahli keluarga pertama yang dapat ijazah. Pada awalnya, beliau risau latar belakangnya akan menjejaskan kemungkinan untuk bekerja dalam bidang perundangan. Dia berbesar hati dengan sambutan positif yang diterimanya.


“Saya menerima banyak e-mel daripada semua, tetapi yang paling bermakna ialah e-mel daripada wanita-wanita yang tak yakin bahawa mereka ada peluang untuk menjadi seorang peguam walau memakai hijab, apa lagi seorang hakim. – Raffia, seperti yang dilaporkan Independent.


Vickie Hodges dan Judy Claxton, pemilik syarikat guaman Raffia, mengatakan pelantikan ini berasaskan merit, dan telah memberi peluang kepada golongan wanita Islam untuk terus berjaya dalam bidang perundangan. Raffia juga bersyukur kepada suaminya yang sentiasa mendukung aspirasinya. Mereka dikurniakan tiga orang anak.

Sebelum dilantik menjadi hakim, Raffia memberi guaman berkaitan dengan pelbagai isu, termasuklah perundangan swasta, keluarga, perkahwinan paksa, mutilasi alat kelamin wanita, dan juga hukum syariah. Beliau juga telah menerbitkan tulisan berkaitan perundangan keluarga Islam, dan turut dijemput sebagai panelis forum di Jerman dan Amerika untuk kongsi kepakarannya.

Walau berpengalaman, Raffia masih menghadapi diskriminasi di tempat kerja

Mungkin warga UK masih tidak biasa berdepan dengan seorang peguam yang berhijab. Terdapat satu masa mana bentara mahkamah salah sangka Raffia sebagai seorang penterjemah. Kata Raffia, perkara ini sudahpun menjadi satu kebiasaan, dan walaupun beliau tidak berkecil hati dengan bentara tersebut, kejadian seperti ini hanya mencerminkan anggapan masyarakat tempatan.


“Masih ada anggapan bahawa pekerja dalam bidang ini tidak mempunyai wajah yang serupa dengan saya. Ada ramai wanita yang mengalami Imposter Syndrome,” – Raffia, seperti yang dilaporkan Independent


Pada pendapat Raffia, Imposter Syndrome, ataupun ‘Sindrom Penyamar’, merupakan satu aspek yang menghalang kemajuan wanita di tempat kerja. Tidak, sindrom ini bukan satu penyakit fizikal yang serius, tetapi satu fenomena psikologi yang mana orang tersebut terasa kurang berkemampuan berbanding dengan individu-individu lain, contohnya rakan sekerja.

Pada peringkat awal, masa Raffia tengah memohon untuk masuk ke sekolah perundangan, dia diminta oleh seorang ahli keluarga untuk menanggalkan hijab bila menghadiri temuduga biasiswa, kerana kononnya ada kemungkinan besar Raffia tidak akan menerima biasiswa itu jika dia menutup kepala. Namun, dia tetap memakai hijab ke temuduga itu kerana tidak ingin menyorok identitinya.

Akhirnya, Raffia berjaya dapat biasiswa tersebut, dan menerima ijazahnya dalam bidang Perundangan, Perakaunan, dan Kewangan daripada Universiti Oxford Brookes pada tahun 2001. Pada tahun seterusnya, beliau menjalankan latihan di London, dan turut sertai syarikat guaman St Mary’s Family Law Chambers pada tahun 2004.

Semoga kisah Raffia ini boleh menjadi inspirasi kepada semua

Setakat April 2019, wanita mewakili 30% daripada semua hakim di England, dan hanya 7% dari keseluruhan itu merupakan hakim daripada golongan etnik minoriti. Walau menghadapi cabaran dalam kerjayanya, Raffia berjaya kerana yakin dengan kemampuan diri.

Kita harap kisah Raffia ini akan mendorong anak muda dari golongan minoriti untuk sertai bidang perundangan. Di Malaysia jugak kita baru saksikan pada tahun 2019 pelantikan wanita yang pertama atas jawatan Ketua Hakim Negara dan juga Presiden Mahkamah Rayuan. Semoga trend ini terus berkembang.


Artikel ini banyak merujuk artikel ‘Barrister appointed as one of first hijab-wearing judges in UK’, terbitan Independent.


28 views0 comments

Recent Posts

See All

コメント


bottom of page